Wednesday 24 April 2013


Analisis PRU-13: Kemelut Tong Him legakan BN Melaka


TINDAKAN penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him dari DAP bertanding pula di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana sebagai calon Bebas menentang rakan separtinya, Lai Keun Ban agak mengejutkan.
Sewaktu Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Kota Melaka, Datuk Mohd. Zain Mansor mengumumkan Tong Him antara calon bertanding di Kota Laksamana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu semalam, ia mengejutkan seluruh penyokong dan calon DAP yang lain.
Ada yang menggeleng-geleng kepala. Mereka seperti tidak percaya dengan keputusan yang diambil oleh Tong Him bertanding sebagai calon Bebas menentang calon DAP Keun Ban.
Ini menyaksikan Kota Laksamana menjadi tumpuan kerana kubu kuat DAP sejak 45 tahun lalu itu tidak pernah dimenangi oleh mana-mana calon daripada Barisan Nasional (BN).
Kota Laksamana akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru selain Tong Him dan Keun Ban, seorang lagi calon berwibawa BN, Datuk Chiw Tiang Chai akan bersaing di situ.
Cukup jelas, tindakan luar jangkaan calon Parlimen Kota Melaka itu membuktikan keretakan hubungan ahli parti itu di peringkat negeri dan Pusat belum dapat diselesaikan hingga kini.
Tindakan Tong Him itu sudah menunjukkan beliau mengkhianati parti sendiri.
Difahamkan kepimpinan tertinggi DAP tidak senang dengan tindakan calon Parlimen Kota Melaka itu dan mereka dijangka mengambil tindakan disiplin ke atasnya.
Apapun, tindakan pemecatan ke atas beliau selepas penamaan calon tidak akan menjejaskan peluangnya yang boleh bertanding di Parlimen Kota Melaka mewakili DAP dan pada masa yang sama di DUN Kota Laksamana sebagai calon Bebas.
Buat BN, ini adalah khabar paling menggembirakan untuk menyakinkan pengundi di Parlimen dan lima DUN iaitu Kesidang, Telok Mas, Banda Hilir dan Duyong mengenai pergolakan dalam DAP.
Ini kerana keretakan dalaman parti itu akan memberi kelebihan kepada semua calon BN untuk menyerang habis-habisan calon pembangkang dalam usaha menawan semula Parlimen Kota Melaka yang pernah dimenangi pada 2004.
Lebih penting ialah usaha untuk menakluk Kota Laksamana yang tidak pernah dimenangi oleh mana-mana calon dari MCA sejak 45 tahun lalu.
Kata Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam ketika mengulas mengenai perkara tersebut, ia adalah peluang terbaik bukan sahaja merampas semula Parlimen Kota Melaka tetapi juga menakluk DUN Kesidang dan Bandar Hilir yang dimenangi DAP pada 2008.
Tindakan Tong Him boleh dianggap sebagai rahmat baharu yang mampu menyuntik kekuatan semula calon BN bertanding di Parlimen tersebut untuk mencipta kejayaan paling gemilang. - UTUSAN ONLINE
(Penulis adalah Ketua Biro Utusan di Melaka)



© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment